Thursday, 25 January 2018

MENGHADIRI SAMBUTAN PESTA PONGGAL ANJURAN MIC BAHAGIAN TANGGA BATU

Assalamualaikum w.b.t
Salam Sejahtera
Salam 1PayaRumput
Salam 1Negaraku

Bismillahirrahmanirrahim.

Indah sungguh warna pelangi,
               Tidak luput hingga senja;
          Ke lurah sama diharungi,
               Usaha bersama membawa bahagia.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat ilahi dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya,


dapat kita menghembuskan nafas di atas muka bumi ini dengan harmoni dan keamanan, khususnya di kawasan DUN Paya Rumput yang sentiasa saya kasihi.

Pada Ahad, 21 Januari 2018 yang lalu, saya telah dijemput untuk menghadiri Pesta Ponggal di PPR Krubong anjuran MIC Bahagian Tangga Batu, yang diketuai oleh Datuk Gunasegaran bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Masih belum terlambat unutk saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Ponggal buat semua kaum India di seluruh Malaysia!


Biar saya ceritakan tentang sedikit sejarah Pesta Pongal yang menjadi hari perayaan masyarakat India, khususnyayang beragama Hindu di Malaysia ini.

Pongal merupakan perayaan menuai yang disambut selama empat hari pada bulan Thai di dalam kalendar kaum india. Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai. Bulan Thai merupakan bulan ke-10 di dalam kalendar kaum India. Bulan ini, disambut dengan hadiah dan pakaian baru untuk ahli keluarga serta doa kepada dewa untuk kemakmuran di tahun-tahun akan datang. Bulan Thai juga sangat sesuai untuk perkahwinan. Ia sempena berakhirnya musim menuai, dimana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari.


Rumah-rumah dihiasi dengan daun mangga dan lantai dihiasi dengan corak-corak yang dilukis menggunakan tepung beras atau beras berwarna. Ada juga yang mengikat batang tebu di luar rumah mereka.





Hari pertama perayaan Ponggal dikenali sebagai 'Bhogi'. Ia hari untuk Indran iaitu Dewa Awan dan Hujan. Sebelum matahari terbit, unggun api besar dinyalakan dan dibiarkan membakar sepanjang malam untuk membakar barang-barang lama. Rumah kemudian dibersihkan dan dihiasi dengan corak dan bunga.




Hari kedua pula dipanggil 'Thai Pongal' yang khusus untuk Dewa Matahari. Ungkapan 'Ponggal' bermakna 'meluap-luap', ia menggambarkan hasil tuaian yang banyak. Apabila susu sedang mendidih, ahli keluarga akan berkumpul di sekitar periuk dan melaungkan ucapan 'Ponggal-O-Ponggal' semasa susu mengalir keluar. Hari ketiga, yang dikenali sebagai 'Mattu Pongal' adalah khusus untuk haiwan lembu. Hari ini adalah untuk pengembala berterima kasih kepada ternakan mereka.

Ini adalah sedikit sebanyak sejarah Pesta Pongal yang dapat saya ceritakan untuk pertambahan ilmu saudara-saudari. Ianya merupakan perayaan yang sangat ceria disamping kita dapat mengenali selok-belok tradisi saudara India kita di Malaysia.

Saya sentiasa menerapkan semangat perpaduan dalam kehidupan seharian kerana melalui perpaduan ini kita akan dapat mengekalkan keharmonian di negara kita.


Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini. In shaa Allah di kelapangan yang ada akan saya kongsikan buat pembaca semua.

Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment

WACANA SANTAI YB ADUN PAYA RUMPUT

Assalamualaikum w.b.t Salam Sejahtera Salam 1PayaRumput Salam 1Negaraku Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillah, bersyukur kit...